Petikan buku Hakikat Insan
ISTIMEWA DARIPADA SUAMIMU
Untuk isteriku Mek Aji dan anak cucuku sekalian.
Mek Aji yang abang cintai dan kasihi.
Aku coretkan tulisan aku ini hanya sekadar untuk menjadi ingatan kepada diri sendiri di dalam usahaku untuk menuju ke jalan makrifat kepada Allah s.w.t. dan sekadar menjadi panduan pengetahuan kepada anak cucu yang ingin menuju ke arah matlamat dirinya dengan Allah s.w.t.
Awal-awal lagi aku ingatkan kepada sesiapa yang membaca buku catatanku ini, supaya janganlah sekali-kali membawa hal ini ke pengetahuan orang-orang syariat yang buta hakikat, bermata ikan kering, walaupun dia dianggap oleh orang ramai sebagai guru dan mengajar orang lain pula.
Ini disebabkan semua catatan, pengertian dan istilah-istilah yang terdapat di dalam catatanku ini adalah dibuat dari pandangan hakikat dan makrifat semata-mata.
Jikalau kamu bawa hal ini ke pangkuan orang-orang syariat, maka sudah tentu mereka akan terus menyatakan semua catatan yang ada dalam buku ini adalah salah, menyeleweng, songsang, sesat malahan ada di kalangan mereka tersebut berani menuduh catatan aku ini kafir. Keadaan ini sebenarnya kerana mereka jahil dengan ilmu hakikat dan makrifat. Sesungguhnya mereka hanya sesuai mentalaah kitab-kitab syariat yang membincangkan tentang dosa, pahala, sunat, wajib, haram dan makruh sahaja.
Ingatkan tidak semua Tok Guru syariat faham dan mengerti dengan catatanku ini. Oleh yang demikian, aku berwasiat kepada semua, bertanya hal-hal catatanku ini dengan guru-guru hakikat dan makrifat samada dari golongan kaya, miskin, jahil, alim, lebai rakyat meskipun seorang raja asalkan mereka itu orang hakiki dan makrifat yang benar-benar Mursyid dan sampai pula ke martabadnya.
Aku catatkan segala-gala ini adalah hasil daripada perguruan aku dengan beberapa orang guru hakikat dan makrifat, yang pernah aku jelajahi untuk mendalami ilmu ghaib dan syuhadah (علم غيب دان شهاده)
Iaitu ilmu yang membawa aku ke jalan makrifat kepada Allah s.w.t. dan lain-lain jalan yang tak bolehku ceritakan dengan bahasa ke padamu sekalian, kecuali kamu sendiri dapat menyelami dialam ilmu hakiki dan makrifat.
Aku bersyukur kerana dapat membuat sedikit catatan ini. Sekurang-kurangnya ia dapat menjadi pedoman kepada aku dan anak cucu aku disuatu hari nanti.
Oleh itu wahai anak cucuku, belajarlah ilmu hakiki dan makrifat kerana jalan ini sahajalah kita boleh menjadi manusia, insanulkamil (إنسان كامل) yang diredhai oleh Allah di dunia dan di akhirat.
Sayugia diingatkan, jangan sekali-kali engkau pandang aku dari luar tentang sejarah hidupku yang tidak pernah belajar di Universiti Al-Azhar atau pondok-pondok tok guru, tetapi perhati dan teliti lah baik-baik tulisan aku ini disamping itu juga jangan sekali-kali engkau ikut apa yang aku buat tetapi ikutlah apa yang dicatitkan di dalam buku ini semoga Allah s.w.t. meredai kita bersama.
Akhirnya silalah aku bermadah sebagai renungan kita bersama di dalam arah tuju kepada Allah s.w.t.
"Alih plan mu,
Zat lekat kita
Bulat tak bertepi
Hidayat datang nanti
Tak payah ngaji
Shir dan Tajali
Datang sendiri"
Seperti firman Allah s.w.t. Surah Al-Baqarah ayat 5:
أُولَٰئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Ertinya: Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
Sekian. Wasalam.
Daripada suamimu,
Haji Ahmad Laksamana
6hb. Mac, 1985
Comments
Post a Comment