Hakikat Insan - Bab Pertama
DILEMA KEMAJUAN TEKNOLOGI DAN ILMU ALLAH DI ZAMAN MODEN.
Islam dan aqidahnya telah lama wujud, sejak wujudnya manusia pertama Adam a.s. sampailah ke hari ini iaitu di dalam kurun yang ke-21 yang disifatkan oleh manusia sejagat sebagai zaman kemuncak tamadun manusia dan tidak kurang pula di kalangan cerdik pandai dunia menyifatkan masa kini sebagai zaman sains dan teknologi ataupun zaman perang di langit (star wars) dan Islam akan terus hidup yakni wujud sampailah maya ini kiamat.
Islam adalah Syariat hidup manusia yang diperakui oleh Allah akan kesempurnaannya yang tidak terbanding dan ia juga merupakan satu-satu alternatif yakni pilihan cara hidup yang terbaik di alam maya ini dan juga bagi kehidupan di akhirat nanti.
Syariat Islam, akidah Islam bersama dengan Ilmu Allah telah berkembang dari satu dekad ke satu dekad, dari satu zaman ke satu zaman, daripada seorang Nabi ke seorang Nabi, daripada seorang Rasul ke seorang Rasul yang lain dan isnya telah berkembang sampailah ke tahap yang paling lengkap dan sempurna di zaman Rasulullah s.a.w.
Syariat hidup secara Islam, teknologi Islam dan Ilmu Allah juga turut sama berkembang seiringan dengan ketinggian tamadun manusia daripada satu dekad ke satu dekad sampailah ke suatu tahap darjat teknologi yang paling tinggi dan sempurna. Ianya menjangkau tahap kepintaran pemikiran manusia dan juga terkeluar jauh dari tahap-tahap pencapaian daya pemikiran manusia. Seluruh kesempurnaan Islam samada dari segi aspek perlaksanaan dan pengurusan ekonomi, politik, sosial, ilmu teknologi dan sebagainya adalah telah sempurna dan mendapat pengiktirafan Allah s.w.t. setahun sebelum wafatnya Rasulullah s.a.w. sebagaimana firman Allah Taala di dalam Al-Quran Surah Al-Maidah Ayat 3:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Ertinya:
Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu (cara hidup yang menyeluruh) dan Aku cukupkan nikmatku ke atasmu dan telahKu redhai Islam sebagai agamamu (cara hidupmu)
Dalam konteks Syariat hidup, Allah s.w.t. telah mengajar dan menggariskan peraturan-peraturan (undang-undang) hidup manusia dengan manusia, hubungan manusia dengan alam ghaib, hubungan manusia dengan teknologi, hubungan manusia dengan Ilmu dan hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Tuhan yang memerintah sekalian manusia dengan tujuan yang khusus iaitu untuk kesempurnaan, kebahagiaan manusia dalam dunia dan akhirat. Sesungguhnya kesempurnaan ini tidak ada tolok bandingnya dan ianya telah diperakui oleh kawan mahupun lawan.
Keagungan Islam di dalam bidang Ilmu dan pencapaian teknologi telah pun terbukti di zaman silam. Hal ini banyak diceritakan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran tentang kisah pencapaian Ilmu dan teknologi yang dilalui dan dicapai oleh para Rasul, Nabi dan umat-umat manusia di zaman tersebut dan seluruh kesempurnaan dan pencapaian ilmu dan teknologi yang boleh dicapai oleh manusia di zaman itu telah terkumpul dan boleh dicapai secara sepenuhnya di zaman Muhammad s.a.w. seterusnya umat manusia yang terkemudian sampailah alam dana ini mengalami kiamat.
Malahan sebahagian daripada kemajuan ilmu dan teknologi yang boleh dicapai oleh manusia Islam di zaman silam masih lagi terdapat di zaman kini dan ketinggian teknologinya sehingga ke hari ini tidak boleh lagi diterokai oleh manusia moden.
Sesungguhnya pencapaian ilmu Allah s.w.t. Dan teknologi Islam adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan teknologi sekarang kerana ilmu dan teknologi Islam yang diajar oleh Allah s.w.t. adalah menjangkau lebih jauh sehingga ianya tidak boleh diterima oleh daya pemikiran manusia. Pencapaian teknologi di zaman ini adalah semata-mata berlandaskan kepada kajian dan kepintaran otak fikiran semata-mata (yakni, tahap pencapaian teknologi dengan ilmu Qalam). Walaupun manusia telah boleh mencipta teknologi nuklear tetapi tahap teknologi Islam melalui ilmu Allah s.w.t. adalah sebenarnya jauh lebih tinggi kerana ianya boleh dicapai dengan ilmu yang lebih tinggi iaitu melalui ilmu Ghaib dan ilmu Syuhadah, sebagaimana yang diterangkan di dalam bab yang lalu bahawa teknologi Islam dan ilmu Allah s.w.t. boleh dicapai melalui tiga sukatan pelajaran (kurikulum):
1. Ilmu Qalam
2. Ilmu Ghaib
3. Ilmu Syuhadah
Berdasarkan kepada pengajian Ilmu Qalam (yakni sukatan yang terendah dalam pengajian ilmu Allah) manusia telah pun dapat bermegah kerana berjaya menerokai angkasa lepas, membuat bom atom, mereka komputer dan sebagainya. Maka banggalah manusia "di zaman moden"'diatas kejayaan mereka.
Sesungguhnya daya pencapaian ilmu Qalam boleh dikuasai oleh seluruh manusia sama ada Islam ataupun Kafir, Kufur atau Murtad yang bertuhan ataupun tidak asalkan ia manusia. Maka bolehlah mereka menguasai ilmu Qalam. Di dalam menghadapi perlumbaan teknologi ilmu Qalam ini, manusia Islam "di zaman moden" telah pun tewas dengan pencapaian dan penguasaan ilmu teknologi orang-orang bukan Islam, jelas, itupun satu kelemahan bangsa Islam.
Tetapi sebenarnya umat Islamlah suatu umat yang beruntung di alam maya ini kerana bagi mereka bukan sahaja dapat menguasai teknologi ilmu Qalam tetapi jika mereka mengenali dirinya dan mengenali Allaj sebenar-benarnya nescaya mereka dapat pula menguasai ilmu dan teknologi yang lebih tinggi melalui ilmu Ghaib dan Syuhadah.
Sesungguhnya pencapaian teknologi yang tinggi melalui ilmu Ghaib dan Syuhadah ini tidak mungkin boleh dikuasai oleh orang-orang kafir. Jadi soalnya kenapa orang -orang Islam di zaman ini ketinggalan di semua bidang. Di manakah letaknya kesilapan kita. Cubalah kita fikir bersama dan kenapa umat Islam tidak menaruh minat untuk meneroka peluang teristimewa ini yang dikurniakan oleh Allah kepada Islam dan sesungguhnya peluang teristimewa inilah yang sebenarnya meletakkan tahap umat Islam ke suatu darjat yang paling tinggi. Kemuliaan yang teragung jika dibandingkan dengan manusia kafir dan kufur.
Banyak ilmu dan teknologi Islam telah menjadi bukti kepada manusia di zaman ini. Teknologi-teknologi Islam yang yang terbukti yang dicapai oleh manusia Islam beriman dan mengenal Allah (معرفة الله) daripada zaman Adam sampai ke zaman Rasulullah s.a.w. Dan teknologi-teknologi yang dicapai oleh umat Islam selepas zaman wafatnya Rasulullah s.a.w.
Umat Islam dan manusia seluruhnya hingga ke saat ini pun tidak dapat merempuh dan menguasai darjat teknologi di zaman manusia kenal Allah (معرفة الله ) terutama di zaman kebangkitan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul dahulu.
Marilah kita mengambil contoh dan ikhtibar pencapaian ilmu dan teknologi oleh umat Islam di zaman silam. Sehingga hari ini manusia tidak dapat lagi membina istana daripada air, berniaga, berdagang dengan jin, menggunakan tenaga buruh untuk memebina jalanraya dengan tenaga jin, ilmu teknologi bahasa untuk membolehkan manusia bercakap dengan bukan bangsa manusia termasuk binatang, memakmurkan negeri sehingga rakyat boleh membina rumah (banglo) daripada emas dan permata, melahirkan manusia-manusia yang mempunyai keupayaan untuk terbang di udara tanpa menggunakan alat, memberikan ilmu kepada manusia untuk berjalan di atas air dan sebagainya, tetapi seluruh teknologi yang diceritakan di atas pernah dinikmati sepenuhnya oleh Nabi Sulaiman a.s. bersama dengan rakyatnya di zaman pemerintahannya dahulu. Sesungguhnya ilmu-ilmu teknologi yang diceritakan di atas telah pun diajar oleh kerajaan Sulaiman di zamannya.
Ilmu teknologi yang tinggi juga telah pun dicapai dan dinikmati dan dapat dikuasai pula oleh manusia di zaman Yusuf a.s. Ilmu teknologi mentadbir mimpi (mimpi adalah satu alamat terang atau tidak terang yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada manusia untuk menyatakan sesuatu) sesungguhnya ilmu teknologi mentadbir mimpi adalah suatu ilmu yang tinggi. Hanya dengan satu mimpi Nabi Yusuf a.s. di zaman pemerintahannya dapat merangka dasar ekonomi negaranya (Mesir) di dalam usaha untuk menghadapi bencana kemarau panjang sehingga dengan ilmu itu maka terselamatlah Negeri Mesir dari penderitaan kemarau. Soalnya kenapa ilmu ini tidak dapat dikuasai oleh manusia sekarang dan dimana letaknya kelemahan itu?
Keagungan ilmu Allah s.w.t. dan teknologi Islam juga terbukti di zaman Musa a.s. dimana ilmu bukan sahaja boleh dipelajari oleh manusia melalui guru zahir tetapi ilmu Allah s.w.t. dan teknologi Islam boleh diterima dan diajar oleh guru ghaib. Contoh yang jelas Musa a.s. belajar ilmu ghaib dengan Nabi Khaidir a.s. Jika di zaman Nabi Musa a.s. manusia boleh belajar ilmu ghaib dengan Nabi Khaidir a.s. kenapa manusia tidak boleh belajar ilmu yang sama dengan Khaidir atau Wali-Wali Allah s.w.t. yang lain sedangkan Khaidirn tidak mati dan ramai juga Wali-Wali Allah yang ghaib hidup-hidup dan juga tidak mati sampai ke hari ini, kenapa?
Teknologi dan ilmu Allah yang tinggi juga dapat dikuasai oleh umat-umat di zaman Nabi Daud di mana mereka dapat mencairkan logam dengan tangan tanpa menggunakan api, memerdukan suara bagaikan onakan buluh perindu, umat-umat di zaman Nabi Daud boleh membuat senjata seperti pedang dengan logam hanya dengan memicit logam tersebut sehingga menjadi senjata.
Di zaman Nabi Alias a.s. manusia dapat menguasai teknologi ilmu perubatan yang paling tinggi dan mereka menguasai teknologi farmasi (ubatan) untuk semua penyakit manakala di zaman Nabi Isa a.s. manusia dapat menguasai ilmu untuk menghidupkan semula orang yang telah mati, bercakap dengan orang mati dan ilmu teknologi membaca bisikan hati perut pedal manusia dan mereka juga menguasai ilmu mencelikkan orang buta dengan mata orang buta itu masih lagi buta (cacat). Maka banyaklah lagi contoh-contoh yang kita boleh jadikan ikhtibar dan pernah kita dengar daripada orang-orang tua kita di zaman moden ini tentang keris picit Jawa yang dibuat oleh para Wali-Wali Allah dengan tangan. Kita juga pernah dengar bagaimana Datuk Bahaman (Tok Peramu) memasak air tanpa api. Kita pernah dengar kisah Syeikh Abdul Kadir memakan ayam dan menghidupkan kembali ayam tersebut, kita juga pernah mendengar Saidina Omar sedang membaca khutbah di Masjid Nabawindan di saat yang sama memberi arahan kepada tentera yang sedang berperang di Baghdad.
Kita juga pernah mendengar Tok Kenali seorang ulama tasauf Negeri Kelantan berbuka puasa di banyak tempat (6 tempat) pada waktu yang sama. Kita juga pernah mendengar bahawa bagaimana Tok Pulau Manis (Tok Ku Paloh) menjadikan air laut di sekeliling pulau tempat kediamannya menjadi "air sirap" sejuk seperti air batu untuk satu kenduri hanya dengan merejamkan telapak kakinya pada tepi pantai selepas sembahyang Zohor yang mana "air sirap" bertukar kembali menjadi air laut semula setelah pukul 10.00 malam dan ramai yang telah merasai air sirap itu. Kita juga pernah mendengar Pak Cu Hasan (Wali Hasan Lati) pernah menembak orang yang mengkhianatinya hanya dengan jari telunjuk setelah beliau ditembak dengan pistol oleh kumpulan jahat.
Dalam sejarah Wak Kandar (Putera Raden Iskandar) Linau Batu Pahat, Johor sering ditemui di dalam Masjidil Haram pada tiap-tiap hari Jumaat, sedangkan di masa yang sama Wak Kandar berad di dalam pondok kecilnya di Kampung Linau Batu Pahat, Johor. Dan banyak lagi cerita-cerita yang telah menjadi kenyataan pada masyarakat dahulu dan sekarang.
Soalnya kenapakah mereka dapat melakukan ini jikalau tidak mereka menggunakan ilmu teknologi Allah dan memakrifatkan dirinya dengan Allah s.w.t. Mereka Islam seperti kita tapi kenapa kita tidak mahu menerokai ilmu teknologi Allah s.w.t. Mungkin ada di antara kita berkata, kita ini orang awam sebab itulah kita tidak boleh melakukannya, jadi! sampai bilakah kita hendak menjadi orang awam dan apakah mereka yang dapat menguasai ilmu itu, jawabnya tentulah tidak. Nah! Fikirlah sendiri .......
Sesungguhnya kelemahan umat Islam di masa kini untuk menguasai teknologi ilmullah yang tinggi itu mungkin terhalang ataupun dihalang akibat beberapa faktor yang boleh dipertikaikan dan dipersoalkan :-
Faktor pertama :-
Jatuhnya beberapa buah kerajaan Islam di masa dahulu dimana di zaman pemerintahan raja-raja Islam boleh dikatakan banyak para-para ulama tasauf dibunuh atau terkorban dalam peperangan dan banyak pula kitab-kitab pengajian Islam terutama sekali Tasauf dan Ilmu Makrifat dibakar, diantara contoh yang nyata ialah kejatuhan kerajaan Islam di Baghdad oleh tentera-tentera Monghul menyebabkan ramai para ulama Tasauf dibunuh dan kitab-kitabnya dibakar dan dihanyutkan ke sungai.
Jatuhnya beberapa buah kerajaan di benua kecil India telah pun mengorbankan banyak ulama-ulama Tasauf dan tidak kurang pula kitab-kitab teknologi Islam yang tinggi terhapus dan lenyap sama sekali.
Daripada faktor ini, cuba bayangkanlah sendiri berapa banyakkah khazanah ilmullah yang telah pun dapat diterokai dan dikuasai oleh manusia hanyut di arus zaman.
Faktor kedua :-
Timbulnya pertentangan fahaman ahli-ahli Syariat buta dan bermata ikan kering dengan ahli-ahli Tasauf yang arif lagi bijak (Arifin-Billah) sehingga pertentangan pendapat ini telah membawa kepada pertumpahan darah. Kita pernah mendengar bagaimana kisah seorang ahli Tasauf masyhur yang bernama Khalayak telah dibunuh oleh golongan Syariat yang buta, sehingga Sultan Aulia Syeikh Abdul Kadil Jailani berkata "Jikalau Khalat ini hidup di zamankunnescaya aku akan pegang tangan orang yang membunuhnya". Kita juga pernah mendengar pertarungan hebat antara Syeikh Nuruddin Al Ranini (ahli-ahli ulama Syariat yang buta dan bermata ikan kering) bersama dengan kuncu-kuncunya, telah menjatuhkan hukuman pancung kepada seorang ulama Tasauf yang bernama Hamzah Fansuri.
Faktor ini berlaku adalah akibat daripada sikap keangkuhan ataupun sikap "akulah yang betul" serta lalai tentang ilmullah yang luas yang terdiri daripada cabang ilmu Syariat, Tarikat, Hakikat dan Makrifat. Ulama-ulama Syariat ini mendabik dada kononnya akulah orang yang menjaga hukum Allah. Ilmu Syariat sahajalah yang betul, ilmu lain dari syariat adalah salah, menyeleweng, sesat dan songsang.
Mereka bodoh, tetapi idam mengetahui mereka bodoh, mereka jahil tetapi tidak mengetahui mereka jahil dan mereka menyangka ilmu Allah adalah sesempit dan secetek ilmu di dalam otak mereka (fikiran).
Sikap-sikap begini masih lagi di pusakai oleh sesetengah kalangan tuan guru dan ustaz-ustaz Syariat yang buta dan berfikiran cetek. Nah! Akulah lulusan PhD dalam bidang Syariat ataupun nah! Akulah 30 tahun belajar di Mekah, semua kitab syariat telah aku pelajari.
Mereka tidak sedar bahawa yang unta itu tetap unta .....
Lantaran daripada sikap mereka itulah lemah menjadi punca utama terhalangnya perkembangan ilmu dibidang Tasauf dan Makrifat kepada Allah s.w.t. malahan ada dikalangan mereka memberi dorongan negatif kepada masyarakat untuk mempelajari Tasauf, apa kata mereka, "kita orang awam ini tidak layak belajar ilmu Tasauf kerana ilmu Tasauf itu ilmu para wali-wali, kita orang awam ini cukuplah belajar setakat dosa, pahala sahaja."
Dikalangan mereka juga bertindak sebagai dalang penghalang kepada perkembangan ilmu Tasauf, merekalah yang menabur fitnah kepada pengamal-pengamal Tasauf dengan racun songsang, salah, menyeleweng. "Guru Yahya", sesat dan banyak lagi kata-kata yang diterokai oleh otak syaitan mereka.
Di sini tidaklah pula kita menafikan ada kalangan tertentu yang mengamalkan kononnya ilmu Tasauf, Tarikat, Hakikat yang benar-benar salah dan terkeluar daripada garis-garis pengajian Tasauf yang sebenar, seperti yang pernah dibawa oleh Rasulullah s.a.w.!dan para waliyallah.
Sebenarnya sikap mengkritik, menentang, menghalang perkembangan jalan Tasauf ini tidak seharusnya lagi timbul di zaman moden di dalam masyarakat yang sudah pun sampai ke kemuncak tamadun. Malahan para ulama syariat, ustaz-ustaz yang berkelulusan tinggi haruslah turut sama memberi galakan kepada masyarakat bagi menerokai bidang ilmullah terutama sekali di bidang jalan Tasauf. Jika kita jahil dalam satu bidang perakulah kita jahil, jangan sekali-kali kita bersikap menuduh atau mengambil kata-kata orang tanpa terlebih dahulu menyiasatnya untuk kita kurniakan gelaran salah, menyeleweng, songsang dan sebagainya. Perakuilah kebodohan kita kerana dengan kebodohanlah manusia boleh jadi cerdik, janganlah sekali-kali kita merasa bangga dengan setitik ilmu Syariat yang kita pelajari untuk beraja di mata dan bersultan di hati.
Faktor ketiga :-
Banyak dikalangan ahli Tasauf bersikap pengecut, takut, gerun, malu, silu dan sebagainya untuk berterus-terang dan membuka sayap ilmunya kepada masyarakat, ini mungkin akibat takutnya timbul pertentangan ahli Syariat dan Tasauf akibat atau kesan pertarungan para-para ahli Syariat dan Tasauf di zaman dahulu menyebabkan daripada seorang guru kepada seorang guru telah menasihatkan murid-muridnya supaya berhati-hati di dalam membuka ilmu Tasauf supaya jurang pertembungan fahaman tidak menular seperti yang berlaku dizaman-zaman dahulu. Lantaran daripada itulah pesanan menutupkan rahsia ilmu Tasauf sekalian marilah sama-sama kita membuka lembaran baru dengan sikap yang baru untuk menyebarkan ilmu Tasauf ini kepada anak-anak generasi kita kerana tanpa dengan sikap berani para-para ahli Tasauf maka sudah tentu ilmu Makrifat ini akan lenyap dan mengakibatkan ramai generasi-generasi Islam yang muda akan buta untuk mengenal Tuhannya.
Faktor keempat :-
Akibat kurangnya minat umat Islam untuk mendalami ilmu Tasauf dan menceburkan diri untuk menyelami ilmu Ghaib dan ilmu Washahadah. Disamping itu kurangnya galakan dan dorongan daripada masyarakat serta kerajaan terhadap pengajian ilmu Hakikat dan Makrifat (Tasauf).
Kebanyakan daripada masyarakat kita beranggapan bahawa ilmu Tasauf adalah ilmu para-para wali dan mereka berfahaman bahawa tok-tok wali itu hanyalah sekadar berfungsi untuk membuat air tawar, buat azimat kadang-kadang bertindak sebagai pak dukun. Mereka tidak sedar dan tidak disedarkan bahawa ilmu Tasauf inilah yang dikuasai oleh para-para Rasul, para-para WaliyAllah yang memerintah alam maya. Mereka tidak sedar yang bahawasanya Rasul-Rasul termasuk Rasulullah s.a.w. serta para sahabatnya yang dapat memerintah dengan kebijaksanaan dan kesaktian ilmu Hakikat dan Makrifat (Tasauf). Apakah mereka sedar raja Negeri Kelantan (Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga) Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong adalah WaliyAllah dan apakah mereka sedar Raja Iskandar (Parameswara) yang memerintah Melaka adalah seorang WaliyAllah.
Dengan ini cukuplah bagi kita yang hendak sedar bahawa ilmu kewalian ini hanya bukan sekadar untuk membuat air tawar (air jampi) tetapi ilmu Hakikat dan Makrifat (Tasauf) adalah suatu ilmu yang tertinggi yang dapat dikuasai oleh manusia di alam maya ini.
Masyarakat harus sedar Islam syariat tanpa hakikat adalah hampa, bagaikan senapang yang tidak berpeluru. Bagai gula yang tidak manis. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang mengaku dirinya Islam harus bertindak dan mendalami ilmu Tasauf. Malahan pihak pemerintah sendiri pun haruslah pula menyedari hakikat ini, galakan dan dorongan sama ada melalui bentuk ekonomi ataupun moral hendaklah disemaikan dikalangan masyarakat supaya masyarakat Islam akan dapat kembali ke zaman keagungan dan dapat pula menguasai ilmu Allah dan teknolognIslam yang tinggi seperti mana yang pernah dikuasai oleh umat Islam yang terdahu daripada kita. Dengan ini martabat Islam akan dapat kembali menjulang tinggi di mata dunia dan terbuktilah pula betapa sempurna ya Islam ini, betapa mulianya Islam ini.
Oleh itu kepada siapakah harus kita salahkan dilema ini berlaku, sebaliknya kita tidak salahkan kepada sesiapa, salahkan kepada diri kita sendiri kerana kita lalai untuk mengambil jalan yang sebenar.
Bagai pantun orang tua-tua:-
Buah salak, buah kedondong,
Buah beranga dalam baldi,
Bukan nasib tidak beruntung,
Salah kita tak mengenal diri.
Mengayuh perahu mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian,
Jarang orang menyesal dahulu,
Ramai orang menyesal kemudian.
MS7
Comments
Post a Comment